Al-Fatihah : Menyusun Struktur Perasaan dan Fikiran Insan


0


Tajuk buku : Al-Fatihah Menyusun Struktur Perasaan dan Fikiran Insan
Penerbit : Pelima Media Sdn Bhd
Penulis : Abdul Shahiid Shafruddin
ISBN : 983-44630-6-9
Tebal : 204 Muka surat
Harga : SEM. Malaysia : RM 22.00, Sabah/Sarawak : RM24.00

Sinopsis I (Muka depan)
Al-Fatihah merupakan formula Allah yang menyusun potensi hidup seorang muslim. Surah al-Fatihah mendidik insan menjadi seorang yang adil, dengan menunaikan maksud kehambaannya dengan cara yang setepat-tepatnya dan menjayakan misi khalifahnya dengan sebaik mungkin. Namun, aplikasi formula ‘al-Fatihah’ ke dalam kehidupan tidaklah semudah menerapkan sebuah rumusan matematik ke dalam kira-kira. Interpretasi kepada formula yang dibawa al-Fatihah ada selengkapnya di dalam al-Quran. Buku ini mengupas mesej besar itu dengan garapan yang mudah agar insan dapat mengambil inti manfaat dengan surah yang dibaca saban hari ini.

Sinopsis II (Muka belakang)
Tidak ada hal agung yang masih tersisa di bumi ini melainkan al-Quran. Ia merupakan Kalamullah yang ada di sekeliling kita. Kalamullah yang sangat berkuasa.Kalamullah yang telah menggetarkan hati manusia yang tidak terbilang jumlahnya. Al-Fatihah yang diajarkan kepada manusia ini mendidik kita untuk memberikan milik Allah kepada Allah dan apa yang sepatutnya kepada diri kita, harus kita berikan kepada diri kita. Hak kita kepada Allah adalah dipuji, ditaati, dipatuhi, dicintai, diminta dan digantungkan segala harapan kepadaNya. Sedangkan hak kita kepada diri kita sendiri adalah mempersembahkan sebaik-baik persembahan berupa ibadah khusus dan umum hanya kepada Allah dan menjalankan tugas khalifah dengan sebaik-baiknya.
Maha Suci Allah SWT menjadikan keseluruhan makna dan nilai terkandung padat di dalam sebuah surah pendek ini. Keindahan bahasa dan bunyi setiap suku katanya membuatkan ia sangat dihafal dan dipelajari. Apabila ia melekat di dalam minda kita dan sentiasa mengalir di lidah kita, kita secara tidak langsung telah mengulang-ulang suatu yang begitu agung nilainya. Ini menunjukkan betapa al-Fatihah sebenarnya menjadi sebuah formula. Rumusan dan formula yang jika dirungkai akan mengungkap makna yang besar dan sangat penting untuk kesejahteraan hidup insan di dunia dan akhirat.
Ulasan Buku ‘AL-FATIHAH Menyusun Struktur Perasaan dan Fikiran Insan’
Buku ini menjadikan kandungan Surah al-Fatihah sebagai topik utama perbincangan. Al-Fatihah walaupun hanya mengandung tujuh ayat tetapi ia membawa mesej yang cukup besar. Al-Quran merupakan himpunan dan rumusan bagi keseluruhan wahyu yang pernah diturunkan kepada para Nabi dan Rasul terdahulu. Al-Fatihah pula merupakan himpunan dan rumusan bagi keseluruhan kandungan Al-Quran. Penempatannya diurutan pertama di dalam susunan surah-surah al-Quran memberikan keagungan yang tersendiri kepada surah ini. Hal ini dikukuhkan lagi dengan kewajipan membacanya di dalam setiap rakaat solat. Bahkan, setiap ayat yang dibacakan setelah al-Fatihah memperlihatkan keterkaitan yang erat sehingga keutamaan al-Fatihah menjadi begitu menyerlah.
Walaupun buku ini menjadikan al-Fatihah sebagai topik utama pembahasan, penulis tidak menjadikan buku ini berunsur kajian tafsir. Ini kerana tafsiran al-Quran memiliki disiplin yang khusus. Penulis berusaha di dalam buku ini untuk mengungkapkan kandungan al-Fatihah dengan persembahan gaya bahasa dan bentuk penyampaian yang ringan. Dengan harapan ia menjadi sebuah bacaan yang tidak hanya menyapa minda tetapi turut juga menyentuh hati.
Demi menghadirkan gambaran nyata bagaimana sepatutnya setiap insan berinteraksi dengan kalamullah, penulis menyelitkan kisah-kisah kehidupan yang ringkas. Kisah-kisah pendek ini diusahakan menjadi sarana yang dapat menjelaskan sudut pandang al-Quran mengenai suatu situasi dalam episod kehidupan.
Buku ini dibahagikan kepada 10 bab seperti berikut :
Bab 1 : Isti’azah (A’uzubillahi minassyaithanirrajim)
Bab 2 : Basmalah (Bismillahirrahmanirrahim)
Bab 3 : Alhamdulillahi rabbil ‘alamin
Bab 4 : Arrahmanirrahim
Bab 5 : Maliki yaumiddin
Bab 6 : Iyyaka na’bud wa iyyaka nasta’in
Bab 7 : Ihdinasshiratal mustaqim
Bab 8 : Shirathallazina an’amta ‘alaihim
Bab 9 : Ghairil maghdhubi ‘alaihim waladdhallin
Bab 10 : Al-Fatihah
Secara kesimpulannya ada empat perkara utama yang patut mendapat renungan. Pertama, mengenai perkenalan Allah sebagai Tuhan. Kedua, pemberitahuan bahawa manusia memiliki peranan, tugas dan matlamat di dalam kehidupan ini. Ketiga, permohonan kepada Sang maha segala maha agar diberi petunjuk agar manusia dapat memainkan peranan, menjalankan tugas dan mencapai matlamat dengan sebaiknya. Keempat, selain dari usaha bersifat doa, manusia juga perlu memperluaskan usaha dengan mengkaji bagaimana mereka yang telah Allah beri nikmat menghidupi kehidupan ini dan bagaimana mereka yang mendapat murka dan kemarahan Allah menghidupi kehidupan ini. Demikian dapat menjadi kayu ukur dan garis panduan bagi manusia dalam menghidupi kehidupan ini.
Empat perkara di atas menjadi faktor utama yang akan membantu setiap insan menyusun struktur perasaan dan fikiran mereka dalam setiap situasi yang dialami. Mereka yang mampu merenung 4 perkara utama itu akan sampai kepada sebuah penilaian terhadap situasi dari beberapa sudut. Pertama, dari sudut Allah selaku yang Maha Kuasa. Kedua, dari sudut dirinya sebagai hamba. Ketiga, dari sudut bagaimana kesungguhan memohon petunjuk Allah, berusaha mencari petunjuk Allah dan menggantung harap kepadaNya. Keempat, mengkaji pengalaman mereka yang terdahulu dalam mengharungi situasi serupa. Dengan demikian setiap insan dapat melihat dengan jelas struktur perasaan dan fikiran yang rapi sesuai dengan apa yang dikehendaki Allah.
Semoga kita tergolong dikalangan mereka yang mampu menyusun struktur perasaan dan fikiran sehingga membantu kita untuk meraih segala yang baik dan menjauhkan diri dari segala yang buruk. Amin.

0 Response to "Al-Fatihah : Menyusun Struktur Perasaan dan Fikiran Insan"

Post a Comment